Kira dan bayar Zakat Emas anda bersama kami, dijamin Mudah, Cepat dan Selamat
Inilah wang sebanyak RM……. sebagai menunaikan Zakat Emas yang wajib ke atas diri saya / pihak yang saya wakili untuk tahun………… kerana Allah Ta’ala.
Umum diketahui bahawa pemilikan emas merupakan penanda tahap kekayaan seseorang kerana ia merupakan barangan berharga dan harganya mampu – malahan lazimnya – naik semakin tinggi. Ia merupakan logam yang tidak mudah dihapuskan, tidak boleh dibakar, warnanya kekal walaupun terbakar dan dicairkan, ia tidak beracun dan tidak membahayakan sesiapa yang memegangnya. Ini beberapa sebab mengapa ia digunakan sebagai mata wang suatu masa dahulu dan kini masih boleh didagang untuk ditukarkan kepada wang. Oleh itu, Islam mewajibkan zakat emas dibayar oleh para pemilik berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah At-Taubah; Ayat 34-35) |
Rasullulah S.A.W bersabda yang bermaksud :
“Siapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipanaskan oleh neraka. Dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya.” (Sahih Muslim) |
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Tidak wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama.” (Hadith riwayat Abu Daud) |
Terdapat beberapa cara kiraan yang berbeza bagi jenis-jenis simpanan atau pelaburan emas yang berbeza. Pertama sekali, merujuk kepada emas yang tidak dipakai – sama ada kerana ia dalam bentuk yang tidak boleh dipakai, atau barang perhiasan buatan emas yang tidak dipakai langsung – sekiranya cukup beratnya mengikut nisab sebanyak 85 gram, dan cukup haul iaitu selama setahun simpanan, maka wajib dikeluarkan zakat terhadapnya.
Kadar zakatnya adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan nilai emas tersebut. Emas Simpan wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut menyamai atau melebihi 85 gram / 25 mayam. Kadar zakatnya ialah 2.5% atas nilai keseluruhan emas tersebut.
Contoh pengiraan:
Jika emas yang disimpan bernilai RM25,000 (mengikut kadar nilai semasa), maka jumlah zakat yang perlu dibayar adalah seperti berikut:-
RM25,000 x 2.5% = RM625
Secara umumnya, emas yang dipakai sekurang-kurangnya sekali setahun tidak dikenakan zakat jika ia tidak melebih “uruf” negeri bermastautin bagi pembayar zakat. Uruf adalah nilai pemakaian setempat yang dibenarkan. Berikut kadar uruf bagi setiap negeri bagi tahun 2022/2023:-
Johor: 850 gram
Kedah: 170 gram
Kelantan: Tiada uruf
Kuala Lumpur dan Putrajaya: 800 gram
Melaka: 180 gram
Negeri Sembilan: 200 gram
Pahang: 500 gram
Perak: 500 gram
Perlis: 85 gram
Pulau Pinang: 165 gram
Sabah: 152 gram
Sarawak: 90 gram
Selangor: 800 gram
Terengganu: 850 gram
Bagi negeri di mana tiada uruf, ini bermakna kesemua barang kemas buatan emas perlu dizakat, tidak kira berapa beratnya.
Selain daripada barang kemas yang disimpan, jenis-jenis emas yang wajib dibayar zakat ke atasnya adalah seperti berikut:-
Pelaburan emas fizikal: Biasanya emas fizikal ini berbentuk seperti syiling (namun tidak boleh diguna pakai seperti mata wang biasa), wafer, jongkong, dan juga kadang-kala ia didatangkan dalam bentuk tertentu untuk acara-acara tertentu. Jika jumlah keseluruhan simpanan emas melebihi nisab 85 gram, maka simpanan ini wajib dizakatkan.
Pelaburan akaun emas: Terdapat juga simpanan atau pelaburan emas di mana jumlah dan nilainya tercatit dalam bentuk buku akaun, kenyataan akaun atau passbook. Selalunya ia melalui Akaun Simpanan Emas. Di dalam penyata akaun akan dicatatkan jumlah simpanan yang dilaburkan berdasarkan unit emas. Jika pelaburan emas ini melebihi 85 gram atau jumlah nisab sebanyak RM20,361 maka ia wajib dibayar zakat ke atasnya. Bagaimana pun, emas yang dilaburkan ini mestilah betul-betul wujud dan boleh dimiliki secara fizikal oleh pelabur jika perlu. Jika tidak, ia jatuh kepada kategori akaun emas maya atau akaun emas tanpa emas fizikal.
Akaun emas tanpa fizikal: Akaun emas tanpa fizikal dianggap simpanan emas tidak patuh syarak jadi zakat dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja. Oleh itu, ia dikira sebagai zakat wang simpanan.
Akaun emas maya: Begitu juga bagi akaun emas maya, ia merupakan emas yang diniagakan secara bukan fizikal dan hanya “atas kertas” atau di platform elektronik sahaja. Ini bermakna pelabur boleh menjalankan aktiviti jual beli emas berdasarkan harga semasa namun emas ini tidak boleh dituntut secara fizikal walaupun pelabur merupakan “pemilik” emas ini. Oleh itu, zakat yang dibayar perlu mengikuti kadar zakat wang simpanan yang dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja.
Jika anda mahu mengira jumlah zakat emas yang perlu dibayar, gunakan kalkulator di atas. Selamat menjalankan ibadah membayar zakat!
Sudahkah Anda
Membayar Zakat?
Tunaikan kewajipan anda pada hari ini dan jangan tangguhkannya. Sesungguhnya ia wajib ke atas kamu!