Isnin – Jumaat : 8.30 AM – 6.00 PM

Zakat Emas Perhiasan

Kira dan bayar Zakat Emas Perhiasan anda bersama kami, dijamin Mudah, Cepat dan Selamat

A : Aset Semasa/Harta Semasa

A1. Nilai jongkong emas, syiling emas, kepingan emas dan sebagainya
RM
A2. Nilai sijil pelaburan emas patuh syariah
RM
A3. Nilai emas perhiasan wanita yang tidak dipakai
RM
A4. Nilai emas perhiasan wanita
(jumlah atas uruf sahaja)
RM
A5. Nilai emas dicagarkan
(Jumlah nilai emas – jumlah hutang – upah simpan)
RM

Kiraan Zakat Yang Perlu Dibayar

Jumlah Nilai Harta Layak Dizakat
[a1]+[a2]+[a3]+[a4]+[a5]
RM
Zakat Harta Yang Perlu Dibayar
[a]*0.025
RM

Inilah wang sebanyak RM……. sebagai menunaikan Zakat Emas Perhiasan yang wajib ke atas diri saya / pihak yang saya wakili untuk tahun………… kerana Allah Ta’ala.

Mungkin ada yang bertanya mengapa zakat emas perhiasan dikenakan ke atas barang kemas yang dipakai? Di antara logam-logam berharga yang boleh dijadikan pelaburan dan didagangkan, emas merupakan yang paling popular dan sering menjanjikan keuntungan tertinggi. Antara kelebihan emas adalah ia tidak mudah menghakis, mudah dibentuk dan boleh mengalirkan haba dan elektrik. Malahan, ia juga tidak akan musnah jika terbakar dan sebaliknya hanya mencair dan kemudiannya mengeras kembali bila sejuk. Oleh itu, tidak hairan jika ia digunakan sebagai mata wang dalam aktiviti jual beli. Selain itu, ia juga merupakan bahan pembuatan bahan kemas perhiasan yang paling berharga berbanding logam lain termasuk perak, gangsa, platinum dan lain-lain. Disebabkan itu, ternyata perhiasan emas menjadi ukuran kekayaan seseorang maka adanya zakat emas perhiasan dikenakan kepada pemilik barang kemas selain daripada emas untuk pelaburan.

Terdapat banyak dalil yang merujuk kepada wajibnya membayar zakat emas perhiasan. Antaranya, di dalam Al-Quran terdapat ayat yang jelas dan terang merujuk kepada kewajiban membayar zakat emas, iaitu seperti berikut:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud


“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi merka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”


(Surah At-Taubah; Ayat 34-35)

Sementara itu,  diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA

Rasulullah SAW telah bersabda,  yang bermaksud:


“Siapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipanaskan oleh neraka. Dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya.”


(Sahih Muslim)

Dengan dalil-dalil ini, jelas sekali bahawa zakat emas wajib dibayar ke atas emas yang kita miliki. Bagaimana pun, diberikan kelonggaran ke atas jumlah simpanan emas yang tidak cukup nisab, iaitu sebanyak 85 gram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Tidak wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama.”


(Hadith riwayat Abu Daud)

Begitu juga hukum asal bagi emas perhiasan iaitu ia tidak dikenakan zakat.

Hal ini ditentukan berdasarkan hadith Rasulullah SAW (yang bermaksud):


“Tiada zakat dalam perhiasan.”


(Hadith diriwayatkan oleh Ibn Jauzi dalam  al-Tahqiq)

 

Juga terdapat hadith yang diriwayatkan Imam Malik di dalam Al-Muwatta’ (yang bermaksud):


“Aishah RA pernah memakaikan beberapa anak saudaranya yang yatim emas perhiasan, lalu beliau tidak mengeluarkan zakat emas ke atasnya.”


Sementara itu, mantan pengerusi Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa, almarhum Dr Yusuf al-Qaradhawi telah berkata dalam Fatawa al-Mu’asirah: “Perkara yang telah sedia maklum, bahawa para fuqaha berselisih pendapat tentang kewajipan zakat terhadap perhiasan wanita jika ia terdiri daripada emas dan perak.”


Bagaimana pun, pendapat umum daripada para ulama dan majlis-majlis fatwa menyatakan jika emas yang dimiliki adalah berlebih-lebih, ia patut dizakat jila melampu had uruf yang telah ditetapkan di negeri masing-masing. Hal ini dinyatakan dalam hadith seperti berikut (yang bermaksud):


“Dari Amru ibn Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Beliau berkata: “Seorang wanita bertemu Rasulullah SAW dengan membawa anak gadisnya. Di tangan anaknya terdapat dua bentuk gelang emas yang tebal.” Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu mengeluarkan zakat perhiasan ini?” Wanita tersebut menjawab: “Tidak.” Maka Nabi bersabda: “Adakah kamu ingin  Allah SWT memakaikanmu dua bentuk gelang dari api pada hari Kiamat?”


Oleh itu, terlihat di sini bahawa sesungguhnya emas perhiasan yeng melebihi uruf perlu dizakat.

Uruf adalah nilai pemakaian emas perhiasan setempat yang dibenarkan. Berikut kadar uruf bagi setiap negeri di Malaysia bagi tahun 2021/2022:-

  • Johor: 850 gram

  • Kedah: 170 gram

  • Kelantan: Tiada uruf

  • Kuala Lumpur dan Putrajaya: 800 gram

  • Melaka: 180 gram

  • Negeri Sembilan: 200 gram

  • Pahang: 500 gram

  • Perak: 500 gram

  • Perlis: 85 gram

  • Pulau Pinang: 165 gram

  • Sabah: 152 gram

  • Sarawak: 90 gram

  • Selangor: 800 gram

  • Terengganu: 850 gram

Bagi negeri di mana tiada uruf, ini bermakna kesemua barang kemas buatan emas perlu dizakat, tidak kira berapa beratnya.

Perkara paling utama dalam pengiraan berbeza bagi emas fizikal untuk pelaburan berbanding emas perhiasan adalah nilai paras uruf. Seperti dimaklumkan, pada dasarnya emas perhiasan tidak dikenakan zakat jika ianya dipakai oleh pemilik sekurang-kurangnya sekali setahun. Bagaimana pun, jika pemilik barang kemas mempunyai koleksi barang kemas yang diperbuat daripada emas yang melebihi paras uruf di negeri tempat ia bermastautin, maka diwajibkan dibayar zakat ke atas nilai yang berlebihan ini apabila cukup haul. 

Sementara itu, bagi emas fizikal yang menjadi simpanan atau pelaburan dengan niat agar nilainya berkembang dan menjadi sumber kekayaan, wajib dikenakan zakat ke atasnya jika cukup haul dan nisab sebanyak 85 gram, seperti dinyatakan dalam hadith di atas iaitu sebanyak 20 dinar. 

Untuk maklumat lanjut tentang kiraan zakat emas pelaburan, sila baca di pautan ini dan jangan lupa untuk melunaskan bayaran zakat buat tahun ini.

Bagi emas perhiasan, cara pengiraan zakat yang dikenakan ke atasnya adalah sama seperti zakat emas simpanan atau pelaburan. Bezanya hanyalah kepada paras uruf, seperti yang dikupas di atas. Bagaimana pun, kadarnya adalah sama iaitu sebanyak 2.5% daripada keseluruhan emas yang dimiliki. 

Contoh pengiraan:
Jika emas yang disimpan bernilai RM25,000 (mengikut kadar nilai semasa dan selepas ditolak paras uruf), maka jumlah zakat yang perlu dibayar adalah seperti berikut:-
RM25,000 x 2.5% = RM625