Isnin – Jumaat : 8.30 AM – 6.00 PM

Zakat Fitrah

Orang
[a] * [b]
RM

Inilah wang sebanyak RM……. sebagai menunaikan Zakat Fitrah yang wajib ke atas diri saya / pihak yang saya wakili untuk tahun………… kerana Allah Ta’ala.

Zakat fitrah merupakan bayaran wajib yang perlu dibuat sebelum atau di pengakhiran bulan Ramadan yang merupakan sejenis aktiviti sedekah. Biasanya zakat dibayar kepada pegawai kutipan zakat, ataupun amil, secara fizikal namun pada zaman moden ini anda juga boleh membuat bayarannya secara online.

Bayaran zakat fitrah mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun yang sama di mana umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Tujuannya adalah untuk menyucikan diri daripada perbuatan dan kata-kata buruk yang mungkin kita lakukan semasa berpuasa. Di samping itu, hasil kutipan pula digunakan untuk menyempurnakan sambutan Aidilfitri buat golongan yang layak menerima bantuan seperti golongan fakir miskin dan yang kurang bernasib baik. 

Oleh kerana zakat fitrah berkait rapat dengan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya, maka waktu untuk membayar zakat ini juga adalah pada waktu tertentu dan jangka masanya agak pendek. Menurut Imam Syafi’i, pembayaran boleh mula dibuat pada hari pertama bulan Ramadan. Namun, adalah lebih afdal jika ianya dikeluarkan pada dua hari terakhir bulan Ramadan. Waktu terakhir untuk membayar zakat adalah selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan (jatuh wajib sudah dibayar zakat) sementara adalah haram untuk membayarnya selepas terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri. 

Jika anda mahu membuat bayaran zakat fitrah dengan cepat dan mudah pada dua hari terakhir bulan Ramadan, cara paling senang adalah dengan membayarnya secara online atau atas talian.

Jumhur Ulama telah mengeluarkan fatwa mengenai hal ini berdasarkan dalil dan hadith yang berkaitan. Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Umar yang bermaksud:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum Muslimin.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada sabda Rasulullah SAW, dilihat bahawa zakat fitrah ialah sesuatu yang diwajibkan ke atas semua umat Islam, termasuk kanak-kanak dan hamba sahaya, baik lelaki dan perempuan. Jika kanak-kanak tersebut mempunyai harta sendiri, zakat diambil dari hartanya. Jika tiada harta sendiri, kewajiban membayar zakat bagi seorang anak kecil jatuh kepada orang yang memberi nafkah kepadanya, seperti ibu bapa atau penjaga. Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Ulama.

Sementara itu, perihal ini juga telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003. Hasil perbincangan, muzakarah telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib sekiranya cukup syarat wajib yang ditetapkan iaitu:

  • Seseorang yang mempunyai makanan atau hartanya lebih daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagI Aidilfitri.

  • Seorang anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan.

  • Seorang mualaf yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.

  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

Kadar bayaran bagi zakat fitrah tidak sama cara kiraannya seperti bayaran jenis-jenis zakat yang lain. Ianya tidak dikira mengikut peratus harta dan adalah sama kadarnya bagi setiap umat Islam yang mampu. Jadi, berapa sebenarnya kadar zakat fitrah?

Kadar bagi zakat ini bagi seorang adalah berasaskan beras seberat satu “gantang Baghdad” iaitu sebanyak 2.7kg beras atau senilai dengannya (ijtihad). Walau bagaimanapun, nilai 2.7kg beras itu berbeza mengikut negeri dan ditetapkan mengikut Majlis Agama Islam setiap negeri. 

Pada tahun 2022, kadar yang telah diselarikan bagi nilai terendah wajib bayar adalah sebanyak RM7. Walau bagaimanapun, sesetengah negeri menyenaraikan 3 peringkat kadar bayaran berdasarkan harga dan gred beras semasa. Dengan 3 kadar berbeza, para pembayar boleh memilih kadar bayaran yang akan dibuat berdasarkan gred atau harga beras yang menjadi makanan harian mereka. Jika difikirkan, cara begini lebih adil terutama bagi mereka yang kurang mampu, namun masih dapat tambahkan jumlah kumpulan dalam setahun. 

Berikut kadarnya pada tahun 2022:

  • Perlis: RM7

  • Kedah: RM7, RM14, RM21

  • Pulau Pinang: RM7, RM13, RM20

  • Perak: RM7, RM14, RM21

  • Selangor: RM7, RM14, RM21

  • Negeri Sembilan; RM7

  • Melaka: RM7, RM14, RM21

  • Johor: RM7, RM10

  • Pahang: RM7

  • Terengganu: RM7

  • Kelantan: RM7, RM14, RM21

  • Sarawak: RM7

  • Sabah: RM7

  • Wilayah Persekutuan: RM7, RM14, RM21

Bagi tahun-tahun seterusnya, anda boleh menyemak kadar zakat yang perlu dibayar dengan amil zakat di kaunter pungutan zakat atau dengan menggunakan kalkulator zakat jika bayaran dibuat secara online.